Khamis, 6 Mei 2010

Zaid didakwa pertikai titah Sultan

2010/05/07

KOTA DAMANSARA: Umno bahagian Subang semalam, membuat laporan polis terhadap Datuk Zaid Ibrahim berhubung kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan berpolitik di masjid di negeri itu.

Laporan polis itu dibuat oleh Naib Ketua Umno bahagiannya, Abd Raof Abdullah di Balai Polis Kota Damansara di sini, pada jam 12.51 tengah hari.
Abd Raof berkata, laporan itu dibuat sebagai tanda prihatin rakyat Malaysia yang menyifatkan kenyataan Zaid boleh memecah belahkan perpaduan rakyat di negara ini terutama yang beragama Islam.
“Kenyataan yang dibuat itu secara tidak langsung merendahkan taraf Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini (Selangor). Malah, dalam perlembagaan menyatakan Raja-raja Melayu memiliki kuasa mutlak dalam urusan agama Islam,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, kenyataan Zaid yang disiarkan di muka depan sebuah akhbar tempatan itu sebagai tidak berasas dan berniat jahat kerana mendakwa titah Sultan Selangor berhubung isu terbabit sebagai pendapat peribadi dan bukannya arahan rasmi.

“Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhammad Munir Bani mengesahkan bahawa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah bersetuju dan menandatangani perintah terbabit. Ini bukan pandangan peribadi Tuanku.

“Justeru, kita minta polis menyiasat kenyataan Zaid ini dan kita juga menggesa supaya beliau memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya itu,” katanya.
Semalam, akhbar berkenaan melaporkan Zaid mendakwa titah Sultan Selangor berhubung larangan berpolitik di masjid itu bersifat peribadi dan bukannya arahan rasmi.

Zaid juga menyifatkan titah itu bukan sebagai arahan, perintah atau ‘decree’ kerana dalam sistem Raja Berperlembagaan, Sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman Raja-raja Melaka dulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan