Khamis, 6 Mei 2010

Arahan Sultan Selangor tak perlu diwarta: Mais

2010/05/07

Kenyataan Zaid Ibrahim pertikai perintah, larangan dikesali

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa budi bicaranya sendiri dalam menjalankan sebarang fungsi sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.
Beliau berkata, mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, Sultan Selangor atas kapasiti sebagai Ketua Agama Islam atau Mais boleh mengeluarkan perintah kepada orang Islam bagi menjaga kesucian agama Islam dan institusinya.
Katanya, arahan yang dikeluarkan Sultan Selangor atau Mais mengikut seksyen itu mempunyai kesan dan berkuat kuasa tanpa perlu diwartakan terlebih dulu.

"Mais menegaskan setiap pihak perlu mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa berhubung penggunaan masjid sebagai pusat komuniti orang Islam dan tauliah untuk mengajar agama Islam bagi menjaga kesucian dan kehormatan institusi masjid.

"Mana-mana pihak yang mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Sultan Selangor atas sifatnya sebagai Ketua Agama Islam di Selangor atau Mais adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

"Mereka boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim semalam yang dilaporkan berkata Perlembagaan menetapkan Sultan tidak boleh mengeluarkan perintah secara terus, sebaliknya disalurkan melalui Majlis Agama Islam negeri terlebih dulu dan bermesyuarat sebelum mewartakan keputusan itu sebagai peraturan sah.

Zaid berkata, titah Sultan Selangor yang melarang masjid dijadikan tempat berkempen politik sebagai pendapat peribadi kerana ia tidak dirujuk kepada Mais.

Mohamad Adzib berkata, Mais amat dukacita dengan kenyataan Zaid dan berpendapat beliau sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor sewajarnya peka terhadap undang-undang yang berkuat kuasa di Selangor.

Sementara itu, Umno Selangor membidas kebiadaban Zaid yang mempertikaikan titah Sultan Selangor dan menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mewujudkan satu pasukan khas bagi memantau masjid di negeri ini.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukur Idrus, berkata parti itu kesal dengan kenyataan Zaid yang disiarkan sebuah akhbar semalam menyifatkan Penyelaras Pakatan Rakyat itu sebagai keliru dan kurang membaca.

"Perintah Sultan sudah dikeluarkan secara rasmi oleh Mais, Jais dan Jabatan Mufti. Sehubungan itu, Jais wajar mewujudkan pasukan khas yang dapat bertindak serta memantau semua masjid di Selangor bagi mengelak masjid disalah guna," katanya di Bangunan Umno Selangor di sini.

Sementara itu, Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) mendesak Zaid memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor dalam tempoh 24 jam, berikutan kenyataannya mengulas titah larangan menggunakan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik.

Magaran juga mendesak supaya kepemimpinan tertinggi PKR mengambil tindakan tegas terhadap Zaid yang didakwa seolah-olah menghasut rakyat supaya tidak menghormati titah Sultan Sharafuddin.

Penasihat Undang-undang Magaran, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata kenyataan Zaid yang dilaporkan dalam akhbar menunjukkan beliau tidak memahami undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan